Followers

Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Thursday, December 22, 2011

Siri wang baru diedar Januari

 
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia memperkenalkan siri mata wang baru yang akan mula diedarkan pada separuh kedua tahun depan, dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan.

Siri baru diperkenalkan itu terdiri daripada wang kertas RM1, RM5, RM10, RM20 dan RM100 serta melengkapi wang kertas RM50 yang mula diperkenalkan sebelum ini.

Ia juga melengkapi mata wang siling baru yang diperkenalkan pada 25 Julai lalu dan akan digunakan bermula Januari ini.

Siri terbaru mata wang Malaysia mengambil inspirasi daripada pelbagai ciri-ciri unik Malaysia, dengan menggunakan elemen khazanah semula jadi, budaya dan warisan negara.

Pelancaran siri mata wang baru berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, semalam.

Bank Negara, dalam kenyataannya berkata mata wang baru itu menampilkan ciri-ciri tradisional dari segi seni dan kraf, keindahan alam sekitar, flora dan fauna serta ekonomi.

“Siri baru mata wang juga menggunakan ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan sejajar dengan kemajuan terbaru dalam teknologi mata wang.

“Ciri-ciri keselamatan bagi mata wang baru itu termasuk imej bayangan, tetingkap lebih jelas, potret bertanda keselamatan dengan piksel dan angka yang diserlahkan, benang keselamatan berwarna, benang lensa mikro serta tampalan berkilat bagi memudahkan orang ramai mengenal pasti nilai setiap satunya.

“Satu lagi ciri-ciri dipertingkatkan ialah pengenalan secara sentuhan yang membolehkan individu kurang penglihatan dapat mengenal pasti dan membezakan nilai mata wang berbeza,” kata kenyataan itu.

Semua mata wang di bawah siri baru berkenaan masih mengekalkan potret Yang di-Pertuan Agong pertama, bunga raya, nilai muka bagi mata wang serta corak fabrik tenunan tradisional songket di bahagian hadapannya.

Di bahagian belakang pula, ia menampilkan elemen berlainan mengikut nilai termasuk alam sekitar, budaya, tradisi, flora dan fauna yang mencerminkan identiti Malaysia.

Mata wang baru itu juga masih mengekalkan logo Bank Negara, siri nombor, perkataan bertulis jawi dan corak tenunan songket di bahagian belakangnya.

Dengan pelancaran siri baru berkenaan, Bank Negara akan bekerjasama rapat dengan institusi kewangan, perniagaan dan vendor mesin kendalian tunai bagi memastikan perubahan kepada mata wang baru dapat dilaksanakan dengan lancar.

Vendor mesin kendalian tunai diberikan masa enam bulan untuk mengubah suai mesin masing-masing bagi memastikan mata wang baru itu dapat digunakan.

Sementara itu, mata wang peringatan bagi siri baru berkenaan boleh didapati di ibu pejabat Bank Negara dan cawangannya masing-masing di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu bermula hari ini.

Saturday, December 17, 2011

3 tahun laksana gaji minimum

MEF cadang tempoh transisi penetapan RM900 elak majikan 'tutup kedai'

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) memohon kerajaan memberi tempoh transisi selama tiga tahun sebelum melaksanakan sepenuhnya penetapan RM900 sebagai gaji minimum nasional bagi membolehkan majikan menyesuaikan diri dengan dasar baru yang akan diputuskan nanti.

Ini bermakna jika kerajaan bersetuju melaksanakan tempoh transisi bermula tahun depan, maka semua pekerja akan menerima gaji pokok RM900, selewat-lewatnya pada 2014.

Tempoh transisi tiga tahun munasabah untuk dilaksanakan, jika kerajaan memutuskan RM900 sebagai gaji minimum. - Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif MEF Dengan kata lain, pekerja akan menerima gaji pokok RM700 bermula 2012 sebelum menerima kenaikan RM100 setiap tahun sehinggalah jumlah gaji pokok mencecah RM900 seperti dijangka disyorkan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) kepada kerajaan.

Difahamkan, dasar gaji minimum itu bagaimanapun tidak tertakluk kepada sektor pembantu rumah, pekerja yang mengikuti skim latihan dan syarikat mikro yang akan menetapkan gaji pekerja mengikut pasaran.

Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan, berkata tempoh transisi itu penting bagi memastikan tiada majikan yang terbeban dengan pelaksanaan gaji minimum yang akan disyorkan MPGN kepada kerajaan sebelum akhir bulan ini.

Katanya, tempoh pelaksanaan itu juga memberikan ruang kepada kerajaan meneliti implikasi pelaksanaan gaji minimum itu dan melakukan proses penambahbaikan. “MEF berharap kerajaan akan terima cadangan tempoh transisi ini bagi mengelak banyak syarikat ‘tutup kedai’ kerana tidak mampu memenuhi dasar baru itu. Tempoh transisi tiga tahun munasabah untuk dilaksanakan, jika kerajaan memutuskan RM900 sebagai gaji pokok (gaji minimum),” katanya kepada Berita Harian semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai penetapan RM900 sebagai gaji minimum yang akan disyorkan MPGN. Majlis itu juga dijangka memuktamadkan butiran teknikal mengenai penetapan gaji minimum itu dalam mesyuarat Isnin depan sebelum cadangan itu dibawa kepada kerajaan, akhir bulan ini.

Penetapan gaji minimum itu dijangka dilaksanakan awal tahun depan ekoran desakan persatuan pekerja terutama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang meminta kerajaan menetapkan antara RM900 dan RM1,200 sebagai gaji pokok, selaras dengan hasrat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam sebelum ini berkata, kerajaan akan mengumumkan kadar gaji minimum menjelang akhir tahun ini berdasarkan syor MPGN yang dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Sebelum ini, kaedah penetapan gaji dilaksanakan berdasarkan kuasa pasaran, Perjanjian Bersama (CA) dan Majlis Penetapan Gaji (MPG) di bawah Akta Majlis Penetapan Gaji 1947. Bagaimanapun, daripada tiga mekanisme itu, hanya gaji diputuskan MPG ditetapkan sebagai gaji minimum, tetapi terhad kepada subsektor tertentu bagi kumpulan pekerja mudah terjejas, termasuk pembantu kedai, pekerja pelabuhan, hotel dan pengawal keselamatan.

Tahun lalu, bekas Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud, berkata kira-kira 2.2 juta pekerja tempatan menerima gaji pokok di bawah RM1,000 sebulan dengan lebih 1.8 juta daripadanya di bawah paras kemiskinan dan kemiskinan tegar.

Friday, December 16, 2011

Majikan, pekerja swasta boleh pilih usia bersara

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan supaya umur persaraan sektor swasta dilanjutkan kepada 60 tahun tidak seharusnya dijadikan sebagai satu mandatori, sebaliknya majikan dan pekerja wajar diberi pilihan.
Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan, berkata MEF secara dasarnya bersetuju dengan lanjutan usia persaraan sektor swasta, namun berpendapat pekerja tidak seharusnya dipaksa untuk bersara pada usia 60 tahun.

MEF melihat majikan juga tidak seharusnya dipaksa kerana kemungkinan ada pekerja yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik atau menghadapi masalah kesihatan. - Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF)

“Ini disebabkan kemungkinan segelintir pekerja swasta itu mempunyai rancangan lain yang mahu dilakukan selepas mencapai usia 55 tahun... jika kita memaksa mereka untuk bekerja sehingga 60 tahun, ia mungkin menyebabkan mereka berasa bosan dan boleh menjejaskan produktiviti.

“Kita harus memberi peluang kepada pekerja sama ada mereka mahu bersara pada 55 tahun atau bekerja lagi lima tahun... peluang sama juga harus diberikan kepada majikan.

“MEF melihat majikan juga tidak seharusnya dipaksa kerana kemungkinan ada pekerja yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik atau menghadapi masalah kesihatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, laporan muka depan akhbar ini melaporkan umur persaraan pekerja sektor swasta akan dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 60 tahun mulai tahun depan selepas mendapat sokongan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan MEF.
Shamsuddin berkata, mekanisme pelaksanaan dasar itu masih pada peringkat perbincangan dan Kementerian Sumber Manusia juga sedang memperhalusi cadangan dikemukakan oleh MEF dan MTUC.

Di AYER KEROH: Kementerian Sumber Manusia dijangka hanya dapat membentangkan Akta Persaraan Pekerja Swasta (APPS) bagi membolehkan had umur persaraan pekerja swasta dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 60 tahun pada sesi Parlimen akan datang.

Menterinya, Datuk Seri S Subramaniam, berkata kerajaan ketika ini dalam peringkat perbincangan untuk menggubal akta berkenaan bagi membolehkannya diselaraskan dengan had persaraan kakitangan awam.

“Kementerian masih pada peringkat perbincangan dengan wakil pekerja dan majikan bagi menggubal undang-undang untuk membolehkan APPS dilaksanakan.

“Apabila kedua-dua pihak sudah bersetuju dengan apa dicadangkan, termasuk beberapa faktor lain dibangkitkan dalam penggubalan undang-undang dan ia dapat diselesaikan, akta ini akan dibawa ke Parlimen. Jika boleh pada sesi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ijazah, diploma dan sijil kepada graduan di Majlis Konvokesyen Ke-9 Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) di Dewan Seri Negeri, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Subramaniam berkata, pada masa ini, dari segi perundangan, tiada had umur persaraan ditetapkan untuk sektor swasta dan ia terpulang kepada majikan masing-masing.

“Apabila akta ini dilaksana, ia diseragam di seluruh negara dan boleh digunakan sebagai satu perlindungan kepada pekerja, termasuk mengambil kira jangka hayat usia penduduk di Malaysia secara purata pada masa ini adalah 75 tahun,” katanya.

Thursday, December 15, 2011

Akibat hilang kawalan, bas sekolah rempuh tujuh kenderaan lain

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera parah apabila bas sekolah dipandunya bertembung sebuah ambulans sebelum merempuh tujuh kenderaan lain ketika cuba memotong sebuah kereta dalam kemalangan di Dutamas Raya, Segambut di sini, hari ini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Abdullah Roning berkata, dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, bas tanpa penumpang yang dipandu lelaki berumur 30-an itu dalam perjalanan menghala ibu negara.
"Bas dikatakan cuba memotong sebuah kereta, namun pada masa sama sebuah ambulans datang dari arah bertentangan.

"Ekoran itu, bas terbabit dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh tujuh kenderaan lain termasuk dua buah teksi yang kebanyakannya diletakkan di sebelah kiri bahu jalan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, akibat kemalangan itu, pemandu bas tersebut cedera parah sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan, manakala pemandu ambulans tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketika kejadian tiada orang lain dalam ambulans tersebut kecuali pemandu.

Menurutnya, susulan kejadian itu, lapan buah kenderaan rosak termasuk sebuah kereta Perodua Kembara yang remuk teruk akibat dihempap bas berkenaan.

"Siasatan mendapati, kejadian itu berpunca daripada bas sekolah yang gagal dikawal ketika memotong yang pada masa sama sebuah ambulans dipandu laju dari arah bertentangan menyebabkan bas tersebut hilang kawalan sehingga merempuh kenderaan lain.

"Siasatan terperinci sedang dilakukan dan polis akan mengambil keterangan daripada beberapa mangsa termasuk pemandu bas," katanya. - BERNAMA

Monday, December 12, 2011

Chef Riz kini suami Ana Dahlia




TAIPING - Dengan sekali lafaz, juri rancangan pencarian tukang masak selebriti, Masterchef, Chef Riz, 29, sah menjadi suami kepada pelakon, Ana Dahlia, 28, semalam.

Pasangan itu dinikahkan oleh Naib Kadi Kampung Batu 8, Changkat Jering, Nawi Osman di rumah pengantin perempuan di Kampung Bendang Siam, Changkat Jering di sini pada pukul 12.25 tengah hari.

Ana Dahlia atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar menerima wang hantaran RM20,000 dan mas kahwin RM1,001 serta sebentuk cincin.

Dia yang pernah membintangi filem genre seram Mantra menerima 13 dulang hantaran daripada suaminya dan membalas 15 dulang hantaran bagi pihak pengantin perempuan.

Sumber : Kosmo 12/12/2011

Tuesday, November 29, 2011

Durian runtuh 73,291 pesawah

JOHOR BAHRU 28 Nov. – Seramai 73,291 pesawah di seluruh negara akan menerima bayaran tunggakan Insentif Peningkatan Hasil Padi sejak 2007 hingga kini berjumlah RM110 juta secara berperingkat mulai awal bulan depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, buat permulaan 1,000 pesawah di Selangor akan menerima bayaran tersebut mulai 4 Disember ini yang dibuat secara tiga peringkat.

“Insentif ini untuk pesawah yang berjaya meningkatkan hasil padi mereka dari 2007 hingga 2011. Kita lambat bayar kerana perlu mengenal pasti jumlah sebenar. Ini kerana padi yang dihasilkan kadang-kadang melebihi apa yang disasarkan untuk tahun tersebut, jadi jumlah insentif itu akan ikut berubah mengikut produktiviti.

“Tidak timbul isu yang dimainkan pembangkang kononnya kita melesapkan duit, pembangkang tidak faham sebenarnya,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran projek penanaman nanas MD2 di Ladang Ulu Tiram, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abd. Aziz Kaprawi dan Presiden yang juga Ketua Eksekutif JCorp, Kamaruzzaman Abu Kassim.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 baru-baru menyatakan kementerian tersebut masih belum membayar RM110.67 juta kepada 73,291 pesawah di bawah insentif itu sejak 2007.

Noh berkata, mengikut insentif itu, peningkatan hasil padi melebihi satu tan metrik melayakkan pesawah menerima RM650 manakala bagi 10 tan metrik, tambahan RM300 diberikan.

Sementara itu, pihaknya masih belum mengenal pasti jumlah kerugian kawasan pertanian yang musnah akibat banjir di Kelantan dan Terengganu.

Namun, pihak Jabatan Pertanian akan turun padang apabila banjir surut untuk mengenal pasti jumlah kerugian sebelum laporan dihantar kepada Majlis Keselamatan Negara.

Sumber : Utusan Malaysia 29/11/2011

Thursday, November 10, 2011

Berita gembira untuk semua!!!

Bantuan persekolahan RM100 dibayar serta merta : Muhyiddin

Sumber: Berita Harian 10/11/2011

KUALA LANGAT: Bayaran bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar di negara ini seperti yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2012, akan disalurkan kepada akaun sekolah masing-masing serta merta.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bagi pelajar di Sabah dan Sarawak, bayaran akan dibuat selewat-lewatnya minggu depan. Bagaimanapun, bantuan persekolahan itu akan disalurkan kepada pelajar Tahun Satu hingga Tahun Lima, dan dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan 2011.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, sementara pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu sesi persekolahan 2012, pembayaran bantuan persekolahan akan dibayar pada Januari tahun depan bagi memastikan pelajar sudah mendaftar di sekolah masing-masing bagi memudahkan pembayaran.

"Bila (pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu) sudah masuk sekolah, baru bayar. Kalau bayar awal, takut ada perubahan sekolah," katanya selepas menghadiri majlis "Menteri Pelajaran bersama warga pensyarah dan pelajar matrikulasi Kolej Matrikulasi Selangor" di kolej itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembayaran bantuan itu dibuat terus kepada akaun sekolah masing-masing melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) dan bagi sekolah yang tidak ada akaun BSN mereka bersetuju untuk buka akaun sementara. Beliau berkata sekolah akan menguruskan pengagihan wang itu kepada ibu bapa atau pelajar. Katanya, lebih lima juta pelajar akan menerima bantuan itu, termasuk 5,061,574 pelajar Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan dan 313,373 pelajar sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri Seramai 125,465 pelajar sekolah persendirian dan 32,235 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) akan menerima bantuan itu.

Muhyiddin berkata, semua pelajar layak mendapat bantuan persekolahan RM100 seorang tanpa mengira latar belakang keluarga bagi membantu mengurangkan beban ibu bapa dalam membuat persiapan anak-anak mereka masuk sekolah.

Menyentuh mengenai elaun bulanan pelajar matrikulasi yang kini hanya RM250 sebulan, Muhyiddin berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menaikkan elaun tersebut.

Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan, dan pada dasarnya sudah dipersetujui selepas mengambil kira kenaikan kos sara hidup pada masa kini.

"Kalau kita hendak ikut bayaran yang dibayar di sesetengah pra-sekolah lain iaitu kira-kira RM400 (dan) kita perlukan peruntukan sebanyak RM50 juta.

"Ini kita akan teliti kalaupun tidak naikan ke kadar yang sama tetapi kita akan tingkatkan (elaun) dan jumlahnya kita akan tetapkan tidak berapa lama lagi," katanya.

Mengulas jaminan pelajar lepasan matrikulasi mendapat tempat di universiti berikutan universiti juga mempunyai program pra-universitinya sendiri, Muhyiddin mengakui wujudnya persaingan kerana kewujudan program pra-universiti tidak dimaklumkan kepada Kementerian Pelajaran.

Beliau memberi jaminan untuk membincangkan perkara itu dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan perancangan lebih teliti dibuat dalam usaha memastikan lepasan matrikulasi mendapat tempat di universiti dan mendapat kursus yang diingini.

p/s : Menarik tak berita ni. Tak sabarkan nak tunggu dapat duit RM100 tu. Boleh jugak menampung untuk beli keperluan sekolah.

Tuesday, October 11, 2011

Ibu bapa pelajar diberi pilihan terima atau tolak bantuan RM100 [Berita Harian 11 Oktober 2011]

GEORGETOWN : Kementerian Pelajaran memberi pilihan kepada ibu bapa sama ada untuk menerima atau menolak bantuan RM100 untuk pelajar seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2012, Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata bantuan berkenaan akan diberi kepada semua 5.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah namun bagi keluarga pelajar yang berpendapatan tinggi, mereka diberi pilihan sama ada untuk menerimanya atau tidak.
Katanya, dalam Belanjawan 2012, kerajaan memperuntukkan RM530 juta bagi tujuan pemberian bantuan berkenaan. "Saya berpendapat bahawa pelajar dari keluarga yang berpendapatan tinggi tidak perlu mengambil bantuan tersebut jika tidak memerlukannya kerana tumpuan seharusnya diberikan kepada pelajar daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah.

"Saya yakin dengan cara begitu, kementerian dapat menjimatkan perbelanjaan yang dikeluarkan bagi menampung bantuan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Literasi Pembelajaran Bahasa Asia 2011 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantuan RM100 untuk setiap pelajar yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Belanjawan 2012 Jumaat lalu.

Mohd Puad berkata, cara bantuan itu disalurkan kepada pelajar terbabit akan ditentukan tidak lama lagi dan peruntukan berkenaan akan diagihkan sebelum akhir tahun ini.
"Kementerian akan turut membincangkan mengenai pemberian baucer RM200 kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang turut membabitkan Kementerian Pengajian Tinggi," katanya.

Beliau berkata, bantuan itu sebagai pendekatan berinovasi yang diketengahkan Perdana Menteri dalam membantu meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah.

Sementara itu, Mohd Puad berkata kerajaan akan tetap memansuhkan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) walaupun terdapat permintaan daripada ibu bapa pelajar untuk meneruskan sistem itu.

Bagaimanapun, katanya, permintaan itu akan dikemukakan kepada Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan ia akan dikaji dengan teliti - BERNAMA